Monday, February 28, 2011

sekadar berkongsi cerita dan mengajak perempuan di luar sana muhasabah diri dan insyaAllah kembali ke jalan yang benar..insyaAllah...(",)


Pekerjaan suami buat isteri tertekan
SOALAN: SAYA seorang ibu beranak lima. Suami bekerja kongsi dengan seorang Cina menjual ikan. Pergi kerja pagi hari, lebih kurang pukul 10 pagi pulang sekejap kemudian pergi semula. Petang pergi lagi dan balik waktu malam.
Saya begitu tertekan dengan rutin hidup sedemikian rupa dan terasa sunyi. Akhirnya saya berkenalan dengan seorang lelaki dan keluar dengannya dua kali tetapi saya telah melakukan perbuatan terkutuk. Saya terlanjur. Saya tidak pernah curang sebelum ini dan jarang sekali meninggalkan sembahyang. Saya benar-benar insaf, menyesal dan selalu menangis. Hidup tidak menentu. Saya ingin taubat nasuha. Adakah perlu saya memberitahu suami? -


JAWAPAN: rutin kerja menjual ikan memang seperti yang puan jelaskan. Pergi pagi-pagi dari rumah untuk memastikan bekalan ikan tersedia ada untuk pembeli yang juga datang membeli di pagi hari.
Setelah semuanya siap sedia, suami puan balik rumah, menjenguk anak dan puan. Memastikan semuanya selamat sambil membawa balik apa yang difikirkan perlu untuk makanan harian.
Setelah menjamu selera pagi dan berehat, suami keluar rumah, menyambung kerjanya semula. Waktu tengah hari balik untuk makan tengah hari. Kali ini rehatnya lebih panjang. Waktu petang pergi lagi dan malam baru balik.
Bagi seorang penjual dan pembekal ikan apatah lagi bekerja dengan orang Cina yang rajin, rutin kerja seperti yang puan jelaskan memang perkara biasa.
Suami puan sebenarnya boleh berehat di tempat lain, sambil makan minum di warung-warung atau di mana jua tanpa balik ke rumah. Tetapi kerana sayangkan keluarga dia balik. Dia bekerja sedemikian rupa semata-mata kerana menanggung keluarga. Untuk memberi makan anak-anak dan isteri, iaitu puan. Untuk membayar sewa rumah, duit sekolah, bil api, air dan segala-galanya.
Nature kerja seumpama ini menjadikan puan terasa sunyi dan tertekan. Bagi seorang suami yang bekerja menjadi pembekal dan penjual ikan, adakah puan mengharapkan dia keluar pukul 7 pagi dan balik rumah pukul 5 petang seperti orang bekerja pejabat, ataupun seorang guru yang boleh tiba rumah pada pukul 2 petang dan duduk di rumah ketika sekolah cuti?
Kalau beginilah cara yang dilakukan, perniagaan akan tutup dan kongsi niaga akan hilang. Pembeli akan beralih ke tempat lain. Ikan tetap berlonggok sehingga petang hari. Hendak disimpan semula tempat tidak cukup. Kalau ada tempat sekalipun, mata ikan akhirnya bertukar menjadi merah dan pecah perut, kerana banyak kali keluar masuk peti sejuk.
Akibat rasa sunyi dan tertekan puan berusaha mengatasinya dengan mencari lelaki lain. Apakah kesunyian yang melanda dan tekanan yang mengorek otak itu boleh terhapus dengan cara demikian rupa. Bagi seorang lelaki yang mempunyai nafsu syahwat, bertemu dengan seorang perempuan yang sedang bermasalah seperti puan yang berakhir dengan perzinaan bukan sesuatu yang memelikkan. Malah hal demikian memang dapat diduga.
Apa manfaatnya atau perlunya seorang lelaki berdampingan dengan perempuan seperti puan kalau bukan kerana seks. Puan mencarinya untuk melepaskan kesunyian dan tekanan. Apa peranan lelaki ini dalam kehidupan puan? Pada hal puan mempunyai suami.
Puan adalah manusia yang tidak tahu bersyukur atau mengenang budi. Dikasihi oleh seorang suami. Dijenguk biarpun sekejap bagi memastikan keselamatan. Puan juga tidak sedarkan diri, anak sudah lima orang, masih mencari lelaki lain. Secara tidak langsung merasa hina dengan pekerjaan suami, pada hal kerja itulah yang menanggung keperluan keluarga, termasuk diri puan. Perilaku puan tidak ubah seperti menjerut sampai maut di leher sendiri. Puan sengaja masuk dalam lukah yang dipasang di air keruh.
Dalam sebuah hadis dari Abu Umamah, Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Bagi seorang mukmin, setelah bertakwa kepada Allah tidak ada sesuatu yang terbaik, selain daripada isteri yang soleh, iaitu isteri apabila disuruh, dia mentaatinya, apabila dipandang menggembirakannya, apabila diberi janji, diterimanya dan apabila ditinggalkan pergi, dirinya dijaga dengan baik begitu juga harta suaminya. Hadis riwayat Ibn Majah.
Dalam sebuah hadis lain, daripada Saad bin Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk. Hadis riwayat Ahmad.
Berdasarkan hadis-hadis ini jelas bahawa puan bukan seorang perempuan yang soleh, tidak amanah dan tidak berupaya menjaga maruah diri. Ada tanda-tanda kecelakaan berlaku dalam keluarga akibat perbuatan puan.
Dalam kehidupan berkeluarga, isteri adalah nakhoda dalam rumah. Isteri merupakan penenang jiwa suami tempat bermanja, tempat luahan segala yang tersemat dalam hati. Cukup untuk menghilangkan rasa penat seharian biarpun hanya dengan menjengukkan leher beberapa minit. Isteri adalah sekutu hidup, pengatur rumah. Ibu dari anak-anak yang dilahirkan, tempat menumpahkan rahsia dan mengadu nasib.
Perilaku puan menyebabkan fungsi seorang ibu yang menjadi tunjang kebahagiaan itu terhapus. Sebagai seorang ibu yang diharap, puan bertindak melayari nafsu serakah lalu akhirnya tertipu. Apa perlunya seorang ibu yang mempunyai lima orang anak itu berzina. Adakah kerana sibuk menjual dan membekalkan ikan, keluar di pagi pekat dan balik di malam yang sepi itu menyebabkan puan tidak puas dengan nafkah batin atau layanan yang diberi oleh suami?
Cuba puan bayangkan, ketika suami bergelut dengan hamis lekit ikan untuk memberi makan anak dan diri puan, puan masih boleh memusuhi apa yang dilakukan olehnya. Puan boleh sampai hati mencari lelaki lain dan berzina dengannya. Puan perlu sedar, apa yang dilakukan oleh lelaki ini langsung tidak ada kaitan dengan kasih sayang, jauh sekali kerana simpati atau rasa ihsan kerana puan adalah isteri orang. Puan hakikatnya hanya satu objek bernyawa menjadi pelapis nafsu tambahan secara percuma sahaja.
Memang benar sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah perlakuannya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Demikianlah jaminan Allah seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, surah al-Ankabut ayat 45. Jaminan Allah s.w.t ini pasti benar. Zina adalah perbuatan mungkar dan kejahatan.
Walaupun demikian, biar betapa tetap sembahyang seseorang itu, tetapi kalau hati dan anggotanya pergi menapak, merangkak, menyusuri gedung-gedung maksiat, fungsi sembahyang itu akan terhindar jauh. Begitulah yang terjadi pada puan. Puan sembahyang lima waktu, tetapi kaki puan masih ingin menapak mencari lelaki lain biarpun sudah beranak lima, akibat hati dan perasaan yang memberontak, menyalahkan pekerjaan suami lalu akhirnya terjebak dengan zina.
Dalam keadaan seperti ini, mungkin lebih selamat biarpun seseorang itu tidak sembahyang langsung, tetapi kakinya tidak berjalan mencari lelaki yang memasang lukah ataupun mencari peluang melepaskan nafsunya. Biar dalam keadaan apa sekalipun sembahyang yang cukup dalam waktunya sambil menjaga pergerakan anggota tubuh, itu adalah lebih baik dan selamat.
Puan berdosa kepada Allah kerana berzina, satu perbuatan yang tergolong dalam dosa besar. Dalam masa yang sama puan telah curang kepada suami.
Tidak ada jalan terbaik yang mesti diambil selain daripada bertaubat. Puan sepatutnya telah bertaubat nasuha lebih awal lagi dan jangan bertaubat hanya setelah mendapat nasihat melalui surat khabar. Malah setiap orang mesti ingat bahawa taubat nasuha tidak semestinya dilakukan hanya setelah seseorang itu melakukan dosa besar.
Seorang yang bertaubat mesti mengembalikan hak yang berkaitan dengan hak anak Adam. Mesti bayar hutang pulangkan harta kepada si ampunya, mohon maaf kalau ia melibatkan fitnah dan sebagainya. Begitulah yang perlu dilakukan oleh seseorang apabila kesalahan itu melibatkan hak anak Adam.
Dalam kes puan, puan telah berlaku curang kepada suami. Puan perlu minta maaf kepadanya. Walaupun demikian kalau maaf itu dipinta di samping menjelaskan kecurangan itu boleh mem-bahayakan diri puan, mungkin puan dipukul, diceraikan menyebabkan rumah menjadi porak peranda, puan tidak perlu menjelaskan kecurangan tadi kerana keburukannya lebih banyak.
Jelasnya, puan perlu menyesal, bertaubat nasuha berbuat baik seberapa boleh sebagai seorang isteri yang soleh, perbanyakkan amalan yang terangkum di dalamnya amalan-amalan sunat terus-menerus. Insaf diri. Yakinlah bahawa Allah s.w.t. Maha Pengasih lagi Pengampun.

No comments:

Post a Comment